top of page

Putrajaya digesa tubuh kementerian khusus untuk warga emas

Malaysian Coalition on Ageing berkata, warga emas wajar mendapat keselamatan sosial dan manfaat, kemudahan serta infrastruktur awam lebih baik

KUALA LUMPUR: Malaysian Coalition on Ageing (MCOA) yang dilancarkan hari ini mencadangkan penubuhan sebuah kementerian ditugaskan khas untuk memenuhi keperluan warga emas dan memudahkan penyediaan perkhidmatan bersepadu kepada golongan itu.

Seorang daripada pengasasnya, Cheah Tuck Wing daripada Persatuan Media Era Ketiga Kuala Lumpur dan Selangor berkata, ini berikutan ada banyak keperluan mendesak warga emas yang tidak ditangani dengan sewajarnya.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai terlalu banyak tanggungjawab kerana mereka perlu melihat bukan sahaja hal ehwal warga emas, tetapi juga wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

“Oleh itu, satu kementerian khusus sangat diperlukan untuk penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada warga emas. Bagi tujuan itu, kami ingin melibatkan kerajaan sebagai rakan kongsi, bukannya pengkritik,” katanya selepas pelancaran MCOA di sini, sambil memetik peningkatan bilangan warga emas sebagai sebab utama.




Cheah berkata, gabungan itu juga memperjuangkan keselamatan sosial dan manfaat serta kemudahan dan infrastruktur awam lebih baik untuk warga emas.

MCOA terdiri daripada sembilan pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia, Persatuan Kejururawatan Selangor, Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia dan Seniors Aloud.

bottom of page