top of page

Tubuh kementerian khusus untuk penuhi keperluan warga emas - MCOA

MCOA mencadangkan penubuhan sebuah kementerian yang ditugaskan khas untuk memenuhi keperluan warga emas dan memudahkan penyediaan perkhidmatan bersepadu kepada golongan itu

KUALA LUMPUR: Malaysian Coalition on Ageing (MCOA) yang dilancarkan pada Sabtu mencadangkan penubuhan sebuah kementerian yang ditugaskan khas untuk memenuhi keperluan warga emas dan memudahkan penyediaan perkhidmatan bersepadu kepada golongan itu.

Seorang daripada pengasasnya, Cheah Tuck Wing daripada Persatuan Media Era Ketiga Kuala Lumpur dan Selangor berkata ini berikutan terdapat banyak keperluan mendesak warga emas di negara ini yang tidak ditangani dengan sewajarnya.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai terlalu banyak tanggungjawab kerana mereka perlu melihat bukan sahaja hal ehwal warga emas, tetapi juga wanita, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Oleh itu, satu kementerian khusus sangat diperlukan untuk penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada warga emas. Bagi tujuan itu, kami ingin melibatkan kerajaan sebagai rakan kongsi, bukannya pengkritik," katanya selepas melancarkan MCOA di sini, sambil memetik peningkatan bilangan warga emas sebagai sebab utama.

Cheah berkata gabungan itu juga memperjuangkan keselamatan sosial dan manfaat serta kemudahan dan infrastruktur awam yang lebih baik untuk warga emas.


MCOA terdiri daripada sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia, Persatuan Kejururawatan Selangor, Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia dan Seniors Aloud.

-- BERNAMA

bottom of page